Wednesday, March 12, 2014

Lahat Datu Dua minggu minum air hujan

myMetro 28 Mac 2013

“Apabila beras habis, kami hanya makan jagung dan pisang,” kata Rahilah Ahmad, 39, antara empat penduduk Kampung Tanjung Labian, yang ditemui pasukan keselamatan ketika berjalan keluar dari kebun sawit di Felda Sahabat 22, di sini, semalam.

Rahilah dan suami, Roslan Udjaman, 27, serta bapanya Ahmad Nawang, 65, dan saudara mereka Isnani Jalmaani, 67, sebelum ini bersembunyi dalam pondok di kampung itu apabila Ops Daulat bermula sejak 5 Mac lalu.
Katanya, mereka tidak pernah mengetahui insiden pencerobohan pengganas itu memandangkan pondok berkenaan jauh dalam kebun sawit dan mereka tiada televisyen, radio mahu pun telefon bimbit.

Bagaimanapun katanya, apabila terdengar bunyi letupan bom dan kereta perisai secara sayup-sayup, suaminya meminta mereka sekeluarga duduk diam di dalam pondok bagi mengelak kejadian tidak diingini.

“Saya tidak membasuh kain dan pakai saja apa yang ada. Dalam hati saya tidak putus berdoa operasi tentera itu segera tamat.
“Kami juga bersedia dengan segala kemungkinan sekiranya ada orang jahat mencerobohi pondok kami,” katanya di pusat pemindahan Embara Budi di sini, semalam.

Menurutnya, dia dan suami memutuskan untuk keluar mendapatkan bantuan apabila kehabisan bekalan makanan.
Menurutnya, mereka berjalan perlahan-lahan dari pondok mereka di kebun sawit untuk ke jalan besar.

“Sepanjang dua jam berjalan, saya berdoa tidak terserempak dengan pengganas.

“Pada masa sama, saya mengharapkan bekalan beberapa sikat pisang dan jagung kami tidak habis.

“Kami bersyukur kerana akhirnya bertemu dengan anggota pasukan keselamatan,” katanya.

Menurutnya, dia terkejut apabila bertemu pasukan keselamatan kerana tidak pernah melihat kehadiran tentera dalam kumpulan besar.

“Anggota tentera meminta kami mengemukakan pengenalan diri dan memeriksa beg kami sebelum menghantar kami ke sini,” katanya.

0 comments:

Post a Comment